Peningkatan 40 peratus berbanding 30 peratus pembabitan Malaysia dalam kerja-kerja awam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata peningkatan jumlah peratusan itu akan memberi peluang kepada kontraktor dan pekerja-pekerja Malaysia untuk turut sama terlibat dalam projek yang besar.

“Peningkatan ini meluaskan penglibatan pekerja negara ini yang menunjukkan kerajaan serius berunding semula dengan pihak China bagi memastikan kepentingan Malaysia diutamakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Langkawi, semalam.

Dalam perkembangan lain, Mahfuz berkata kerajaan akan mengambil tujuh langkah tambahan untuk memantapkan lagi tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini.

Perkara tersebut ialah membuat pindaan bagi memantapkan perundingan dan piawaian KKP negara selaras kehendak semasa; merangka Program KKP Negara baharu iaitu Pelan Induk KKP 2021-2025 serta pengurusan KKP di tapak bina membabitkan pereka bentuk, perunding dan pemaju OSH Construction Industry Management (OSHCIM).

Empat langkah lain ialah menyumber luar fungsi pemeriksaan jentera berperakuan; cadangan integrasi KKP ke dalam program TVET; mewujudkan pelaporan kemalangan dan penyakit pekerjaan berpusat serta mewujudkan sistem integrasi maklumat dan penguatkuasaan tempat kerja di peringkat kementerian. – BERNAMA

Mahfuz ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Negara bagi Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan Bil.12019 dan Lawatan Kerja di Langkawi (Kredit foto KSM).jpg