Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa bayaran Pengeluaran i-Lestari yang diluluskan akan dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula semalam sehingga 18 Mei ini.
Setiap ahli akan dimaklumkan melalui kemudahan i-Lestari Online sejurus selepas bayaran dikreditkan ke dalam akaun bank mereka sekiranya akaun mereka adalah aktif dan tidak dibekukan.
Tarikh sebenar wang tersedia dalam akaun bank ahli bagi tujuan pengeluaran adalah tertakluk kepada proses pelepasan bayaran di pihak bank masing-masing yang mungkin mengambil tempoh satu hingga tiga hari dari tarikh KWSP membuat pindahan.
Ketua Pegawai KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata pihaknya telah meluluskan lebih 3.51 juta permohonan berjumlah RM1.66 bilion dengan perbincangan mendalam bersama bank-bank rakan kongsi telah dilakukan bagi memastikan sistem dan infrastruktur mereka bersedia untuk menerima dan memproses sejumlah besar deposit pada satu-satu masa.
“Lanjutan daripada perbincangan tersebut, kami telah bersetuju bahawa kaedah terbaik dan paling selamat adalah melalui pindahan dana harian secara berperingkat daripada KWSP ke institusi kewangan.
“Jika semuanya berjalan lancar, dijangkakan keseluruhan proses ini akan diselesaikan dalam masa dua minggu atau lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambah Alizakri, KWSP menggesa ahli untuk membuat janji temu dengan pegawai Khidmat Nasihat Persaraan setelah Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan bagi membantu mengkaji dan merangka semula rancangan persaraan mereka.