Peluang untuk meneroka teknologi tinggi terkini dari United Kingdom (UK) mahu dimanfaatkan Malaysia dengan menarik lebih ramai pelabur negara berkenaan untuk menyumbang kepada inovasi baharu bidang berkenaan yang semakin pesat membangun ketika ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, faktor teknologi maju dari UK bukan sahaja berupaya membantu menaikkan potensi perniagaan malah juga memperkasakan kerja-kerja dalam bidang sumber manusia dengan lebih produktif.

“Ini keperluan kita pada masa sekarang. Rakyat Malaysia kini lebih terlatih dan negara memiliki ramai lepasan universiti, oleh itu kita tidak boleh mengharapkan mereka melaksanakan kerja manual contohnya dalam kerja-kerja pemasangan seperti yang kita buat sebelum ini.

“Kita mahu mereka menjadi jurutera yang bekerja dengan peralatan baharu, jentera baharu dan mahir dengan keperluan untuk menyelenggara dan membaiki mesin yang beroperasi,” katanya sewaktu berucap pada pembukaan mesyuarat meja bulat dengan komuniti perniagaan Britain anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Hyatt Regency London The Churchill, semalam.

Tambah Mahathir, Malaysia kini boleh dianggap sebagai negara mesra perniagaan yang bersedia memperhalusi dasarnya untuk memenuhi keperluan pelabur kerana perniagaan mewujudkan peluang pekerjaan dan kekayaan kepada negara.

Mesyuarat-meja-bulat-komuniti-perniagaan-Britain-Kredit-foto-FB-Dr-Mahathir-bin-Mohamad.jpg