Kementerian Sumber Manusia (KSM), menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjalinkan kerjasama bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha memperkasa Program Perantisan kepada para belia dan graduan yang sedang mencari pekerjaan.

PERKESO berkata, usaha sama di antara dua kementerian ini adalah seiring dengan penekanan yang diberikan oleh kerajaan untuk menangani isu pengangguran belia dengan lebih dinamik yang sekaligus akan membantu merancakkan semula pasaran buruh negara pasca pandemik Covid-19.

“Program Perantisan PERKESO di bawah PenjanaKerjaya 2.0 merupakan suatu program penawaran pekerjaan oleh majikan bagi memberi pengalaman bekerja jangka pendek sepenuh masa kepada para belia selama sekurang-kurangnya dua hingga enam bulan.

“Belia yang mengikuti program ini akan dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekerjaan mereka menerusi ‘on-the-job training’ dengan majikan, sekaligus membantu meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Jelas PERKESO lagi, KSM akan terus bekerjasama dengan KBS melalui pelbagai usaha dan inisiatif bagi membantu para belia yang menganggur mendapatkan pekerjaan.

“Sehingga 16 April 2021, MYFutureJobs telah berjaya membantu seramai 6,938 individu mendapatkan pekerjaan menerusi Program Perantisan ini.

“Justeru, KSM menyeru para belia untuk memohon jawatan Perantisan di Portal Pekerjaan Negara menerusi pautan www.myfuturejobs.gov.my.

“Kementerian turut menggalakkan majikan yang berminat untuk mengambil para perantis agar dapat mengiklankan kekosongan jawatan di organisasi mereka menerusi portal MYFutureJobs, manakala bagi golongan belia yang sedang mencari pekerjaan untuk berjumpa dengan Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan kami di semua 54 cawangan PERKESO di seluruh negara bagi mendapatkan bantuan mereka,” ujarnya.

-HR HUB