Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) mengalu-alukan cadangan pengembalian semula sistem penggantian pekerja asing untuk semua sektor bagi membantu menyelesaikan masalah kekurangan pekerja di negara ini.

Presidennya, Foo Chek Lee berkata sistem sebelum ini menjadi satu saluran yang berkesan bagi majikan untuk menggantikan pekerja dan membolehkan mereka memenuhi tanggungjawab kerja dengan pantas, terutama apabila berlaku masalah kekurangan pekerja.

“Kekurangan ini juga berlaku disebabkan oleh pembekuan pengambilan pekerja Bangladesh yang belum lagi diselesaikan. Proses semasa mengambil masa lebih kurang sembilan minggu, manakala proses penggantian sebelum ini hanya mengambil antara satu hingga dua minggu sahaja, dengan syarat semua dokumen yang diperlukan adalah sempurna,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran bahawa Kabinet kemungkinan besar akan mengembalikan sistem ini yang telah dibekukan pada 2017, kerana ia akan membantu majikan menjimatkan masa dan wang dalam menangani kekurangan pekerja untuk perniagaan mereka. โ€“BERNAMA