Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengarahkan setiap majikan tempatan agar mematuhi peraturan dengan mendaftarkan pekerja asing yang bekerja di bawah seliaan mereka ke dalam Skim Bencana Kerja Pekerja Asing (SBKPA) yang diuruskan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Tmbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, penguatkuasaan bagi arahan tersebut yang akan dimulakan pada 1 Januari 2020 bukanlah bertujuan menyusahkan majikan malah ada manfaatnya untuk kedua-dua pihak, iaitu pekerja warga asing serta majikan sendiri.

“Saya memohon kepada semua majikan yang menggaji pekerja asing supaya akur dengan tarikh 1 Januari 2020 kerana walaupun pekerja mereka masih di bawah SPPA (Skim Pampasan Pekerja Asing), mereka wajib mendaftar pekerja dengan SBKPA.

“Skim ini bukan sahaja bermanfaat untuk pekerja asing, tetapi juga membantu majikan dalam mengurangkan kos rawatan dan perubatan sekiranya pekerja asing terbabit ditimpa bencana kerja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Krismas PERKESO 2019 di Sutera Harbour Resort Kota Kinabalu, semalam.