Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengurangkan kadar caruman berkanun syer pekerja daripada 11 peratus kepada 9 peratus yang akan dilaksanakan untuk sepanjang tahun 2021.
KWSP dalam satu kenyataan berkata, kadar caruman berkanun syer pekerja baharu ini akan terpakai untuk pekerja berumur di bawah 60 tahun yang wajib mencarum.
“Bagi pekerja yang berumur 60 tahun dan ke atas pula, caruman berkanun syer pekerja masih kekal pada kadar yang sama.
“Kadar baharu ini akan berkuatkuasa bagi tempoh satu tahun dan merangkumi upah pekerja bulan Januari 2021 bagi caruman Februari 2021 sehingga upah pekerja bulan Disember 2021 bagi caruman Januari 2022,” katanya, baru-baru ini.
Tambah KWSP, ahli walau bagaimanapun masih boleh memilih untuk mengekalkan caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus dengan melengkapkan Borang KWSP 17A (Khas 2021), yang boleh dimuat turun daripada laman web KWSP mulai esok.
“Borang yang lengkap diisi hendaklah dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk didaftarkan secara dalam talian melalui kemudahan i-Akaun Majikan mulai 14 Disember 2020.
“Borang yang diterima daripada pekerja hendaklah disimpan sebagai rekod majikan,” jelasnya.
-HR HUB