Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) sebagai Langkah menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia yang terjejas dengan situasi pandemik Covid-19.

e-CAP memberi fleksibiliti kepada majikan yang menepati syarat-syarat yang ditetapkan untuk membuat permohonan penangguhan dan penstrukturan semula caruman syer majikan bagi bulan caruman April, Mei atau Jun 2020.

Bayaran untuk caruman tertangguh bagi bulan yang dipilih kemudiannya boleh dijelaskan dalam tempoh maksimum tiga bulan.

Ketua Pegawai KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, PKS perlu beroperasi dengan baik bagi mengelakkan impak negatif seperti gangguan dalam rantaian bekalan serta individu-individu yang mungkin akan kehilangan pekerjaan.

“Diharapkan kemudahan e-CAP akan dapat membantu PKS yang terkesan dapat menyalurkan kembali aliran tunai ke dalam perniagaan mereka untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan pekerjaan selama yang boleh.

“Sebagai usaha tambahan, KWSP juga akan menawarkan khidmat nasihat kepada semua majikan tempatan melalui Khidmat Nasihat Majikan.

“Pegawai yang ditugaskan akan membincangkan dan menguruskan pelan yang sesuai berdasarkan keperluan anda bagi memenuhi tanggungjawab sebagai majikan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Majikan yang memenuhi kriteria kelayakan boleh membuat permohonan melalui fungsi e-CAP di portal i-Akaun (Majikan) KWSP secara bulanan.