Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah melaksanakan Program Saringan Prihatin (PSP) bagi pekerja termasuk pekerja asing syarikat-syarikat dalam sektor yang dibenarkan beroperasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Program tersebut yang telah bermula sejak semalam membolehkan pencarum PERKESO mengetahui sama ada mereka bebas Covid-19 atau tidak, dan mengambil langkah pencegahan yang lebih teliti agar kekal sihat sewaktu menjalankan tugas dalam tempoh PKP.

PERKESO dalam kenyataan berkata, pendaftaran PSP boleh dibuat melalui portal PSP PERKESO di pautan prihatin.perkeso.gov.my menggunakan nombor kad pengenalan pekerja atau nombor Keselamatan Sosial Pekerja Asing (KSPA) bagi pekerja asing.

“Saringan Covid-19 ini akan dilaksanakan secara berperingkat. Dalam fasa pertama, saringan Covid-19 disediakan oleh penyedia perkhidmatan yang telah dilantik oleh PERKESO. Saringan akan ditumpukan kepada pekerja yang perlu bekerja di zon berisiko jangkitan Covid-19.

“Dalam fasa kedua yang akan dimaklumkan kelak, saringan disediakan melalui panel klinik PSP PERKESO,” katanya.

Ujian saringan Covid-19 ini disediakan secara percuma kepada pekerja bagi majikan yang berdaftar dengan PERKESO. Untuk maklumat lanjut mengenai syarat dan prosedur saringan, sila layari laman web dan laman sosial rasmi PERKESO atau prihatin.perkeso.gov.my.

PSP-PERKESO.jpg