Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa ahli di bawah umur 55 tahun yang telah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar akan diberikan kelulusan bermula 8 Mac 2021.
KWSP berkata, kelulusan ini termasuk mana-mana permohonan baharu yang diterima selepas tarikh tersebut dengan tertakluk kepada baki yang sedia ada dalam Akaun 1 ahli.
“KWSP menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli ketika pembaharuan ini dilaksanakan kerana pemansuhan kriteria i-Sinar yang diumumkan pada 11 Februari 2021 melibatkan perubahan besar kepada sistem, proses dan tadbir urus i-Sinar Online,” katanya.
Menurut KWSP lagi, pemansuhan kriteria i-Sinar juga bermakna pembayaran interim RM1,000 yang dilaksanakan pada bulan lepas akan dihentikan.
“KWSP menasihatkan ahli yang belum pernah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar sebelum ini dan berhasrat untuk memohon pada tempoh peralihan, untuk menangguhkan permohonan mereka sehingga i-Sinar yang telah dikemaskini dilancarkan pada 8 Mac.
“Ini akan memendekkan masa yang diperlukan untuk proses permohonan mereka dan mempercepatkan pembayaran wang i-Sinar,” ujarnya.
Sehingga kini, sejumlah RM18.5 bilion telah dikeluarkan di bawah kemudahan i-Sinar sejak permohonan dibuka pada bulan Disember 2020 yang memanfaatkan 3.3 juta ahli.
-HR HUB