KWSP telah berjaya mencatatkan prestasi yang memberangsangkan untuk tahun 2020 walaupun mengharungi situasi yang tidak terjangka iaitu pandemik Covid-19, dan dalam persekitaran unik yang menyaksikan dunia berhadapan dengan krisis berkembar iaitu krisis kesihatan dan ekonomi.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, KWSP telah berjaya melindungi simpanan persaraan ahli dengan baik di samping memenuhi keperluan mendesak untuk mereka menangani cabaran semasa.

“Penyebaran dan kebolehjangkitan Covid-19 yang pantas telah menyebabkan ianya sukar dibendung dan dikawal. Namun, langkah proaktif kami dalam menangani kesan daripada wabak tersebut telah membantu kami untuk mengatasi pelbagai cabaran.

“Fokus ke arah digitalisasi telah membolehkan kami membantu ahli dengan lebih cekap dan lancar di samping memastikan KWSP tetap relevan dengan ahli yang kian celik teknologi,” katanya.

Tambah Ahmad Badri, pihaknya juga akan terus memanfaatkan kekuatan kira-kira 250 anggota pelabur profesional KWSP yang komited dan proaktif dalam menguruskan portfolio pelaburan.

“KWSP juga telah mengimbangi semula portfolio pelaburannya berdasarkan pertimbangan teliti yang menyeluruh.

“Ini mengambil kira pelbagai peristiwa global seperti pandemik COVID-19, ketidakpastian pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada bulan November 2020, perang dagangan AS-China yang berterusan serta kesan daripada perundingan Brexit kepada pasaran modal di seluruh dunia,” jelasnya.

KWSP mencatatkan prestasi yang kukuh dari aspek operasi dan kewangan bagi tahun 2020 dengan mengumumkan dividen sebanyak 5.20 peratus dan jumlah agihan sebanyak RM42.88 bilion bagi Simpanan Konvensional; dan 4.90 peratus untuk Simpanan Shariah, dengan agihan berjumlah RM4.76 bilion.

Jumlah agihan dividen bagi tahun 2020 adalah sebanyak RM47.64 bilion.

-HR HUB

KWSP-Gambar-hiasan.jpg