Seramai 1,000 usahawan belia bumiputera termasuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengikuti Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) seliaan SME Corp. Malaysia bagi tahun 2020 tidak akan dibebani dengan cabaran mengikuti latihan ekoran pelaksanaan inisiatif baharu telah ditetapkan.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dalam satu kenyataan berkata, edisi tahun ini bukan sahaja dilaksanakan secara atas talian malah tempoh latihan program TUBE ini juga dipendekkan kepada tujuh hari.

“Tahun lalu, hanya 579 belia dilatih berbanding 1,000 belia pada tahun 2020.

“Sehingga kini, program TUBE telah berjaya melatih sejumlah 5,346 belia untuk menceburi bidang perniagaan dan daripada jumlah tersebut, 4,952 usahawan belia iaitu 93 peratus telah mendaftarkan perniagaan dengan nilai jualan terkumpul sehingga Ogos 2020 bernilai RM127.1 juta,” katanya.

Sementara itu, Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan bahawa terdapat peningkatan peserta TUBE bagi negeri Sarawak yang telah dilatih pada tahun 2020.

“Bagi negeri Sarawak, sehingga kini, sejumlah 474 usahawan belia telah dilatih dan perniagaan yang dijalankan telah mewujudkan 924 peluang pekerjaaan serta RM8.7 juta nilai jualan terkumpul,” ujarnya pada Majlis Penutup Program TUBE 7.0 secara maya di D’Virtual Park Serba Dinamik, Kota Samarahan, baru-baru ini.

-HR HUB

Majlis-Penutup-TUBE-di-Sarawak-Kredit-foto-DS-Wan-Junaidi.jpg