Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) melalui Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), Institut Koperasi Malaysia (IKM) serta agensi-agensi pelaksananya yang lain akan meneruskan program rintis Kursus Asas Keusahawanan (KAK) pada tahun ini di seluruh negara.
Kursus yang akan diadakan bermula Februari hingga Oktober ke enam wilayah iaitu Tengah, Pantai Timur, Utara, Selatan, Sabah dan Sarawak tersebut dijadualkan melibatkan 40 program KAK dengan sasaran melatih sejumlah 2,000 usahawan secara keseluruhan.
Program KAK ini memberi tumpuan untuk melatih bakal usahawan dan usahawan baharu dalam bidang keusahawanan meliputi proses memulakan perniagaan, pengurusan kewangan, pengurusan jualan dan pemasaran, pengurusan operasi perniagaan dan pematuhan kepada aspek perundangan perniagaan termasuk pendaftaran perniagaan, integriti, percukaian dan lain-lain keperluan berkaitan.
Untuk julung-julung kalinya Ujian Psikometri (MyNEPT) telah diperkenalkan untuk membantu bakal usahawan mengenali kecenderungan diri sendiri dan keperluan dari aspek kajian usahawan-usahawan yang berjaya.
Melalui pengalaman dan kajian keberkesanan kursus, KAK menyasarkan 60 peratus peserta memulakan perniagaan setelah tamat latihan. Sebagai nilai tambah, peserta KAK juga mendapat pendedahan modul serta maklumat program pembangunan kapasiti keusahawanan seperti bimbingan dan latihan, insentif berbentuk geran atau pembiayaan perniagaan yang ditawarkan oleh agensi di bawah MED mahupun agensi keusahawanan lain.
Usahawan yang berminat untuk menyertai kursus KAK boleh mendapatkan capaian umum di enjin carian program latihan keusahawanan melalui laman web rasmi MED di www.med.gov.my.