Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak menetapkan sebarang had bayaran elaun praktikal bagi sektor swasta yang mengambil golongan belia mengikuti latihan di syarikat masing-masing namun menyarankan agar majikan terlibat supaya memberi ‘imbuhan’ berpatutan kepada kumpulan tersebut sebagai penghargaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenaikan kadar elaun RM900 bagi sektor awam yang bakal berkuatkuasa 1 September ini seperti diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada Khamis lalu sewajarnya menjadi penanda aras kepada majikan swasta untuk turut mencontohi inisiatif tersebut.

“Walaupun tidak terikat dengan kadar bayaran berkenaan, sektor swasta digalakkan membayar elaun setimpal kepada pelajar praktikal yang diambil.

“Kita harap sektor swasta boleh kongsi keuntungan mereka kepada pelajar praktikal ini untuk membayar elaun yang setimpal,” katanya kepada pemberita pada majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Taufan Lekima di Pejabat Daerah Pokok Sena, baru-baru ini.

Tambah Mahfuz, pembayaran elaun tersebut kelak bukan sahaja berupaya membentuk persekitaran kerja yang lebih produktif malah persaingan untuk mendapat kerja di syarikat yang sama juga dapat diwujudkan.

Mahfuz-Omar-ketika-menghadiri-majlis-Penyerahan-Bantuan-Mangsa-Taufan-Lekima-Kredit-foto-FB-Mahfuz-Omar.jpg