Kementerian Sumber Manusia (KSM) kini berada pada landasan yang tepat dalam merencana Dasar Sumber Manusia baharu setelah beberapa input cadangan yang diterima daripada 276 pemegang taruh pada sesi Townhall di Hotel Renaisance Kuala Lumpur semalam mendapat maklum balas yang positif.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan KSM hari ini, beberapa input cadangan berkenaan dasar tersebut telah menyentuh aspek keperluan sumber manusia negara ketika ini termasuklah isu bekaitan pekerja warga asing yang diberi penekanan serius.

“Antara cadangan lain mengenai dasar itu adalah membenarkan pelarian untuk bekerja dan diberi perlindungan seperti mana diperuntukkan di bawah undang-undang buruh negara,” kata kementerian itu menerusi kenyataan.

Tambah kenyataan itu lagi, maklumat balas serta cadangan yang dikemukakan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (2021– 2025) berkaitan jalinan kerjasama lebih erat antara agensi kerajaan yang terlibat dalam pengurusan pekerja asing dan laporan Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing disiarkan untuk pengetahuan umum turut diterima.

Sesi Townhall tersebut telah dihadiri pemegang taruh yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pekerja dan kesatuan sekerja, majikan dan persatuan majikan serta masyarakat sivil yang turut membincangkan Kajian Semula Tatacara Keharmonian Perusahaan dan Perlembagaan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan.

Townhall-Renaisance-Kredit-foto-KSM.jpg