Susulan kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada minggu lalu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersedia untuk membantu mangsa-mangsa kemalangan yang terlibat.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, PERKESO menyediakan perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan ketika sedang bekerja atau semasa perjalanan pergi dan balik dari kediaman dan tempat kerja mereka menerusi Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Sehubungan itu, mangsa kemalangan tren LRT terbabit yang mencarum dengan PERKESO dan disahkan mengalami kes Bencana Kerja layak menerima bantuan faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Saravanan, mangsa kemalangan yang terdiri daripada Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang berdaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta 789 turut akan dibantu.

“Mereka layak memohon faedah-faedah PERKESO jika kemalangan tersebut berlaku sewaktu mereka menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri atau dalam perjalanan pergi bekerja atau balik ke rumah,” jelasnya.

Saravanan turut memaklumkan manfaat yang disediakan kepada mangsa-mangsa kemalangan yang layak di bawah kedua-dua akta tersebut melalui rawatan perubatan percuma di klinik panel PERKESO atau klinik dan hospital Kerajaan menerusi Faedah Perubatan.

“Selain itu, mereka yang diberi cuti sakit yang disahkan oleh doktor akan menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sepanjang tempoh cuti sakit mereka.

“Jika terdapat mangsa yang disahkan mengalami kecederaan parah sehingga menyebabkan hilang upaya kekal akibat kemalangan tersebut, mereka akan dibantu dengan Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) dan Kemudahan Pemulihan Jasmani iaitu bekalan alat-alat prostetik, ortotik dan ortopedik seperti kaki dan tangan palsu, kerusi roda, tongkat dan kasut khas,” ujarnya.

-HR HUB