Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah mempertingkatkan fungsi baharu di dalam aplikasi Working for Workers (WFW) bagi memudahkan urusan aduan golongan pekerja yang ditindas dan dipaksa untuk hadir bekerja ke pejabat.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, tambahan ciri aduan tersebut yang mula diperkenalkan sejak kelmarin telah mendapat respons dengan sembilan aduan berkaitan majikan melarang pekerja untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) kini direkodkan.
“Mana-mana pekerja yang dipaksa oleh majikan untuk hadir ke pejabat dan bercanggah dengan sekatan tambahan bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diminta membuat aduan melalui aplikasi WFW,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambah Saravanan, setiap aduan yang dibuat seterusnya akan disiasat dan dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Kesihatan (KKM) jika didapati berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Aplikasi WFW yang diperkenalkan KSM pada awal Mei yang lalu ini mempunyai 17 kategori aduan melibatkan isu-isu perburuhan yang dihadapi oleh golongan pekerja.
Orang awam boleh memuat turun aplikasi WFW melalui aplikasi Google Play dan App Store.
-HR HUB