Jabatan Tenaga Kerja telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan China Education Association for International Exchange (CEAIE) sebagai platform bagi kedua-dua negara berkongsi pengetahuan dan kepakaran teknologi, serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata kementerian berhasrat untuk melatih tenaga kerja mahir masa depan yang kompeten dalam teknologi berkaitan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) seperti Artificial Intelligence (A.I), robotik, Internet of Things (loT), dan percetakan 3D.

“Memandangkan kemajuan pesat China terutama dalam teknologi IR4.0, adalah wajar bagi Malaysia untuk belajar dari China dalam beberapa bidang yang mereka mempunyai kelebihan tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Pemeteraian MoU itu diadakan semasa Pameran dan Forum Pendidikan Vokasional China-ASEAN 2019 di Nanning, China dari 19 hingga 20 Sept.

Kula Segaran juga menekankan tentang pentingnya kerjasama antarabangsa kerana beliau percaya ASEAN dan China dapat bekerjasama untuk meningkatkan standard dan kualiti pendidikan TVET menerusi perkongsian amalan, kepakaran, pengetahuan dan penyelidikan bersama.

-BERNAMA