Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) telah menyediakan garis panduan yang perlu diambil majikan untuk melindungi pekerja ketika situasi jerebu, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz yang juga Pengerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berkata DOSH telah menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil majikan berdasarkan situasi semasa jerebu atau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa di sesuatu kawasan.

“Dalam situasi semasa jerebu, kita tidak mahu Garis Panduan Bagi Perlindungan Pekerja Terhadap Kesan Daripada Jerebu Di Tempat Kerja yang telah lama ada dibiarkan tanpa diberi perhatian.

“Selain perlu disebarkan, kita juga mahu garis panduan itu diikuti jika keadaan jerebu atau bacaan IPU mencapai tahap perlu diambil tindakan sebagaimana digariskan oleh DOSH,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.

Mahfuz berkata garis panduan itu membantu majikan dalam membuat penafsiran risiko berdasarkan IPU semasa seterusnya memilih tindakan yang perlu diambil dalam melindungi pekerja.

“Sebagai contoh, jika IPU mencecah 400, majikan diberikan beberapa bentuk tindakan yang boleh diambil termasuk menghentikan aktiviti kerja terutamanya untuk pekerja yang bekerja di luar bangunan,” katanya. – BERNAMA

Mahfuz-Omar-Kredit-foto-KSM.jpg