Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah meluaskan skop Program Saringan Covid-19 Bagi Pekerja Asing ke seluruh negara bermula semalam, 2 Februari 2021 susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengumuman bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ujian saringan tersebut menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos bagi kit ujian dibiayai oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik atau hospital. PERKESO telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM54 juta bagi peluasan skop saringan ini.

“Bagi pekerja asing yang bukan pencarum PERKESO, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.

“Keperluan menjalani saringan COVID-19 ini diwajibkan oleh kerajaan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Pematuhan kepada keperluan ini akan dipantau oleh KSM,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Program ini dilaksanakan oleh PERKESO dengan kerjasama klinik-klinik swasta di seluruh negara.

Senarai klinik yang menawarkan saringan COVID-19 di bawah program ini boleh didapati di portal psp.perkeso.gov.my.

-HR HUB