Kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan silibus pengkomputeran dan teknologi digital bagi mengoptimumkan bidang tersebut di seluruh peringkat khususnya sekolah, kolej kemahiran serta vokasional sebagai persediaan menghadapi perkembangan revolusi digital yang semakin pesat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, sebuah dasar baharu kini sedang dirangka melibatkan kerjasama beberapa kementerian seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Belia dan Sukan dengan pelaksanaan akan mengikut kesesuaian kementerian masing-masing.

“Kita perlu bentangkan kepada kabinet terlebih dahulu kerana kita sedar kita tidak boleh tetapkan tempoh masa bila pelaksanaannya.

“Sebab kita memerlukan pandangan semua pihak, jadi kita tidak boleh tetapkan tempoh masa,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Dewan Dr V David di Kolej Institut Teknologi Pekerja (WIT) Klang, hari ini.

Tambah Gobind, kerajaan akan memastikan capaian internet boleh diakses semua rakyat melalui penyediaan infrastruktur yang lebih baik dalam menuju era revolusi digital.

Gobind-Kredit-foto-FB-KKMM.jpg