Kerajaan akan mengkaji pendekatan yang dilaksanakan dalam pembelajaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan tahap keupayaan graduan yang terlibat agar lebih berkemahiran di lapangan industri tumpuan, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau yang menggalas tanggungjawab sebagai pemangku Menteri Pendidikan berkata, kaedah lebih proaktif akan dipraktikkan dengan fokus diberikan kepada pelaksanaan Peta Strategi Pemerkasaan TVET demi membentuk graduan TVET yang seimbang, holistik dan bercirikan keusahawanan.

“Kesemua pihak terbabit perlu memastikan wawasan TVET yang diterajui industri bagi mengurangkan permasalahan ketidaksesuaian kemahiran, kebergantungan kepada buruh asing dan akhirnya menghasilkan graduan TVET yang memenuhi keperluan industri dapat kita capai,” katanya sewaktu menyampaikan ucaptama pada Majlis Amanat dan Aspirasi Kementerian Pendidikan di Putrajaya, hari ini.

Jelas Mahathir, pemerkasaan TVET dianggap penting kerana ia merupakan pemboleh daya yang berupaya menyumbang ke arah pembentukan negara membangun yang makmur dan inklusif sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Tun-Mahathir.png