Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kerja Raya komited untuk meningkatkan capaian ujian saringan Covid-19 kepada pekerja dengan menambah bilangan penyedia perkhidmatan Program Saringan Prihatin (PSP) di bawah seliaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kementeriannya melalui PERKESO akan menyediakan subsidi saringan kepada majikan bagi ujian Covid-19 yang dilakukan di bawah PSP PERKESO.

“Majikan dibenarkan membuat tuntutan subsidi bagi saringan Covid-19 sebanyak RM150 bagi setiap saringan yang telah dijalankan ke atas pekerja mereka yang mencarum dengan PERKESO.

“Program subsidi ini akan menggunakan peruntukan dana sebanyak RM200 juta yang telah diluluskan oleh PERKESO sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah Saravanan, majikan boleh menghantar pekerja mereka menjalani saringan di mana-mana klinik atau hospital yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.

“Di bawah program subsidi ini, pekerja asing dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Selangor dan Kuala Lumpur akan diberi keutamaan untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

“Ini adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk menjalankan saringan secara bersasar supaya rantaian penularan wabak Covid-19 dapat diputuskan.

“Bagi pekerja yang tidak termasuk dalam golongan sasar tersebut, kos saringan perlu ditanggung oleh majikan sebagai kesinambungan kepada usaha pencegahan jangkitan Covid-19 di kalangan semua pekerja di negara ini,” jelasnya.

Peluasan skop saringan Covid-19 di bawah PSP PERKESO menerusi subsidi saringan akan berkuatkuasa mulai 1 Jun 2020.