Kementerian Sumber Manusia mengumumkan Pindaan kepada Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) Pindaan 2019 yang akan mula dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020 di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Walau bagaimanapun, kerajaan akan memberi penangguhan selama tiga bulan sehingga 31 Ogos 2020 bagi memberikan ruang kepada majikan untuk membuat persediaan sewajarnya sehinggalah penguatkuasaan terhadap Akta 446 (Pindaan) 2019 dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 September 2020.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, aspek perumahan dan penginapan para pekerja di sektor perladangan yang melebihi 20 ekar dan perlombongan sebelum ini, kini telah diperluaskan kepada semua sektor pekerjaan yang menyediakan kemudahan perumahan dan penginapan bagi para pekerja.

“Akta 446 (Pindaan) 2019 juga bertujuan untuk menambahbaik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang telah disediakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) yang meliputi standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan yang perlu dititikberatkan oleh majikan.

“Pekerja asing merupakan golongan yang berisiko untuk dijangkiti Covid-19. Ini kerana mereka menginap secara beramai-ramai atau bersesak-sesak dalam satu unit kediaman selain tahap kebersihan premis yang amat kotor,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Tambah Saravanan, kementeriannya turut bersetuju dengan pandangan daripada pihak Persatuan Perubatan Malaysia (PPM) bersabit keperluan bagi penyediaan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memudahkan pelaksanaan standard-standard minimum perumahan dan kemudahan para pekerja di semua sektor di negara ini.

“Adalah diharapkan bahawa penguatkuasaan Akta 446 (Pindaan) 2019 termasuk Peraturan-Peraturan baharu bagi mengawal standard perumahan dan kemudahan pekerja akan dapat mencegah penularan pandemik Covid-19 selaras dengan saranan ‘Recommendation 115 (Workers Housing Recommendation, 1961)’, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” jelasnya.

M-Saravanan.jpg