Kementerian Sumber Manusia (KSM) percaya bahawa bilangan pekerjaan graduan dan kadar upah akan bertambah baik apabila ekonomi kembali stabil pada tahun ini meskipun pandemik Covid-19 telah memberikan impak yang berbeza ke atas pertumbuhan sektoral dan pekerjaan dalam pasaran buruh negara.

Menterinya, Datuk M. Saravanan berkata, kementeriannya melihat isu graduan baharu yang menerima upah lebih rendah pada tahun 2020 berbanding tahun 2019, termasuk yang mendapat upah lebih rendah daripada gaji minimum sebagai keadaan sementara.

“Inisiatif pemulihan dan pakej rangsangan daripada Kerajaan, ditambah dengan program imunisasi Covid-19 dijangka mampu untuk menyumbang kepada pemulihan dalam ekonomi, sektor perniagaan, dan pasaran pekerjaan.

“Agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), secara aktif telah melaksanakan inisiatif kerajaan untuk menstabilkan pasaran tenaga kerja dan memudahkan pencari kerja dan penganggur mendapatkan pekerjaan.

“Inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan di bawah PenjanaKerjaya serta temuduga terbuka dan karnival kerjaya PenjanaKerjaya yang diadakan secara berkala,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Tambah Saravanan, PERKESO telah diarahkan untuk menganalisis dan menerbitkan dapatan terperinci bagi 160,000 penempatan pekerjaan.

“Ia telah berjaya dilaksanakan sepanjang tahun 2020, termasuklah perincian bagi penempatan kepada pencari kerja yang berpendidikan tinggi,” ujarnya.

-HR HUB