Cadangan gaji minimum sebanyak RM1,800 terhadap penjawat awam yang dikemukakan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sedia dipertimbangkan oleh pihak kerajaan, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Menurut Mahfuz, kementeriannya yang mewakili kerajaan sentiasa terbuka menerima sebarang cadangan yang diutarakan lebih-lebih lagi jika ia melibatkan kebajikan pekerja namun meminta pihak yang terlibat supaya turut memikirkan rasional serta memberi peluang kepada barisan pentadbiran negara untuk melaksanakannya dalam tempoh mengikut perancangan.

“Tuntutan CUEPACS itu memperlihatkan sensitiviti mereka untuk membantu pekerja. Tetapi kerajaan juga sudah ada pertimbangan dari sudut berkemampuan dan keupayaan kerajaan dengan mengambil kira (bukan sahaja sektor awam) malah keupayaan majikan di peringkat swasta,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sumbangan Komuniti di Tapak Econsave Pokok Sena Kedah, baru-baru ini.

Tambah Mahfuz, setakat ini pihak kerajaan masih berpegang kepada manifesto Pakatan Harapan dengan kadar gaji minimum sebanyak RM1,500 akan dinaikkan secara berperingkat dalam tempoh masa lima tahun.

Program-Sumbangan-Komuniti-Kredit-foto-Pusat-Khidmat-Parlimen-Pokok-Sena.jpg