Jawatankuasa Kabinet Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (JKKPTVET) yang dianggotai oleh sembilan kementerian berbeza telah mencapai kata putus untuk bekerjasama mewujudkan sebuah pangkalan data baharu yang dinamakan sebagai Pangkalan Data Raya TVET.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, pangkalan data tersebut dibangunkan bertujuan mengunjur pekerjaan serta fokus terhadap bidang kerjaya yang kritikal melibatkan permintaan daripada pihak industri.

“KPM berharap agar insiatif dalam memperkasakan dan menjayakan agenda pendidikan TVET ini dapat menyediakan peluang terutamanya kepada graduan dengan tahap kebolehpasaran yang tinggi bagi melahirkan graduan yang bekerjaya,” katanya.

Selain KPM, kementerian-kementerian lain yang terlibat ialah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa sebanyak 20 strategi dan 15 syor telah digariskan terhadap lima pemacu TVET iaitu Badan Penyelaras TVET Negara, Model Pembiayaan yang Mampan, Model Pemilikan Bersama dengan Industri, Pemerkasaan Persijilan TVET (Industri) dan Penjenamaan TVET Kebangsaan Tunggal.

Pekerjaan-Job.jpg