Agensi hartanah dan firma penasihat IQI Global melancarkan pelan latihan untuk menangani peningkatan kadar pemberhentian pekerja dalam sektor swasta, dengan memperkasakan tenaga kerja untuk memasuki semula pasaran dengan keyakinan baharu.

Mempunyai pejabat di seluruh Malaysia, kumpulan itu menganjurkan program latihan secara tetap yang topiknya termasuk kemahiran insaniah, kemahiran membuat pembentangan kertas kerja, jaringan kerja, pemasaran media sosial dan membina minda keusahawanan.

“Kami mempunyai tenaga kerja yang produktif dan berkebolehan yang akan mendapat manfaat daripada langkah meningkatkan kemahiran mereka supaya mereka boleh memasuki semula pasaran dengan kemahiran lebih baik, kebolehpasaran, produktiviti dan cekap,” kata Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Kashif Ansari dalam kenyataan semalam.

Program latihan kumpulan itu juga akan memperkasakan mereka dari segi sosial, kewangan dan ekonomi untuk memasuki perniagaan e-dagang yang menguntungkan, yang dijangka bernilai US$100 bilion (US$1=RM4.13) di seluruh ASEAN dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Malaysia mempunyai beberapa infrastruktur IT terbaik di rantau ini dan sudah menggunakan teknologi baharu seperti 5G.

“Sekiranya tenaga kerja ini disediakan dengan kemahiran yang betul, mereka akan dapat memanfaatkan peluang besar dan memenuhi keperluan di rantau ASEAN yang mempunyai populasi lebih 700 juta,” kata Kashif.

-BERNAMA