Semua majikan yang berhasrat untuk menggajikan pekerja asing melalui program pengambilan semula dan juga permohonan pengambilan pegawai dagang diwajibkan terlebih dahulu mengiklankan kekosongan jawatan tersebut di portal MYFutureJobs, berkuat kuasa 1 november 2020.

Menteri Sumber Manusia, Datuk M. Saravanan berkata, pengiklanan kekosongan jawatan di MYFutureJobs hendaklah tidak kurang daripada 14 hari bagi program pengambilan semula pekerja asing sedia ada dalam negara dan 30 hari bagi permohonan pegawai dagang.

“Ini akan disusuli dengan sesi menemu duga calon bersama wakil majikan dan agensi Kementerian Sumber Manusia, iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Maklumat seperti nama jawatan, gaji yang ditawarkan, kelayakan akademik atau kemahiran dan kompetensi yang diperlukan wajib dipaparkan di MYFutureJobs,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Tambah Saravanan, majikan juga dikehendaki mendaftar dan membuat permohonan melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAX) sebagai syarat pematuhan kepada undang-undang perburuhan bagi penggajian pekerja bukan warganegara.

“Mulai 1 November juga, mana-mana majikan dan pekerja yang menggunakan JobsMalaysia akan diubah hala ke portal MYFutureJobs.

“Ini bertujuan untuk menjadikan MYFutureJobs sebagai platform tunggal bagi Kementerian Sumber Manusia memantau padanan pekerjaan yang melibatkan rakyat tempatan,” jelasnya.

-HR HUB

MYFutureJobs.jpg