Syarikat sumber manusia berasaskan teknologi dari Jepun, Grooves bersedia membuka peluang pekerjaan kepada bakat Malaysia hasil kesepakatan pelaburan strategik berjumlah AS$920,000 (RM3.78 juta) yang diterima daripada PNB-INSPiRE Ethical Fund (PIEF) Permodalan Nasional Berhad.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yukihiro Ikemi berkata, pemilihan Malaysia sebagai ibu pejabat di rantau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) adalah berdasarkan kebolehan bakat di negara ini yang dilihat memiliki potensi untuk dipadankan dengan majikan yang sesuai melalui platform Grooves.

“Ideanya adalah untuk memberikan lebih pendedahan kepada bakat tempatan untuk mendalami ekosistem perniagaan Jepun dan membawa pulang pengetahuan dan pengalaman ke negara masing-masing.

“Kami mahu menyediakan peluang bagi kedua-dua negara untuk bertukar budaya kerja dan juga kemahiran yang dimiliki,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.