Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memerlukan perancangan rapi bagi merealisasikannya termasuk dari segi kemahiran tenaga buruh tempatan yang harus segera dipersiap dan dipertingkatkan.

Pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Jabatan Kejuruteraan Infrastruktur dan Geomatik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata projek mega yang menghubungkan pantai timur dan pantai barat Semenanjung itu mampu mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan selain mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat yang lebih mampan.

“Perancangan dan pembangunan yang teliti perlu bagi memastikan dana dan sumber negara dimanfaatkan sepenuhnya khususnya sumber manusia yang memerlukan suntikan peluang pekerjaan di kalangan graduan universiti atau politeknik di negara ini,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Justeru, beliau yang juga Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) berkata peranan institusi pendidikan tinggi dan latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah penting dalam memberikan sokongan terus terhadap projek mega ECRL berkenaan.

“Peranan empat universiti MTUN (Malaysian Technical University Network) iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) amat penting untuk memastikan sumber manusia yang diperlukan dalam pembangunan projek ECRL disediakan untuk pembinaan infrastruktur,” katanya. – BERNAMA

ECRL-Kredit-foto-FB-ecrlOfficial.jpg