Program Peningkatan Bakat Negara (NTEP) di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dilihat sebagai platform tepat yang mampu mewujudkan peluang kerja dengan sasaran lebih 11,000 pekerjaan baharu di Perak, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut Ahmad Faizal, golongan belia menganggur terutamanya graduan di negeri berkenaan bakal menerima manfaat tersebut kerana keberkesanan NTEP kelak mampu menarik pelabur sektor swasta
berdasarkan keperluan industri di Wilayah Koridor Utara yang mahu melahirkan tenaga kerja mahir.

“NTEP, satu daripada empat program modal insan yang dilancarkan, disasarkan khusus bagi golongan belia dan wanita, Orang Asli terutamanya mereka yang berada dalam kumpulan B40 serta graduan, penganggur dan usahawan mikro,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Program-Program Modal Insan anjuran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara dengan kerjasama kerajaan negeri di Institut Latihan Statistik Malaysia, semalam.