Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (MOHR) untuk membangunkan peraturan bagi perumahan dan kemudahan pekerja, terutamanya, standard minimum untuk penginapan mereka dalam industri pembinaan.
Pindaan kepada Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan Dan Kemudahan Pekerja 1990) telah diluluskan oleh Parlimen pada 31 Julai, 2019.
Ia kini wajib untuk majikan dalam semua sektor industri, termasuk pembinaan, menyediakan penginapan untuk pekerja yang memenuhi standard minimum seperti digariskan dalam Akta.
Ketua Eksekutif CIDB Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid berharap peraturan itu, yang sedang dirangka, dapat disiapkan pada akhir tahun ini.
“CIDB akan membantu memantau…garis panduan yang kami sediakan telah menyaksikan libat urus dengan peserta industri, dan belum diputuskan secara terperinci,” katanya kepada pemberita semasa mengulas mengenai kemajuan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 di Kuala Lumpur semalam.
Turut hadir Menteri Kerja Raya Baru Bian.
Ahmad Asri berkata kuarters pekerja atau rumah kongsi, yang digunakan secara meluas pada masa ini, tidak mematuhi standard minimum kemudahan dan penginapan pekerja pembinaan sementara.
Beliau berkata CIDB berhasrat untuk menggunakan Malaysia Standard (MS 2593:2015) sebagai garis panduan untuk menambah baik penginapan dan kemudahan untuk pekerja. – BERNAMA