Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menasihatkan pekerja-pekerja tempatan yang berkelayakan untuk menjalani saringan kesihatan secara percuma di bawah Program Saringan Kesihatan (HSP) sejak ia diperkenalkan pada 2013 untuk memanfaatkan program tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, program HSP sebenarnya memudahkan pekerja yang merupakan pelanggan orang berinsurans (OB) dalam menjamin tahap kesihatan terbaik masing-masing sewaktu bertugas.
“Mulai 29 September 2018, PERKESO telah memperkenalkan Program Saringan Kesihatan (HSP) tanpa baucar bagi memberi kemudahan kepada OB menjalani saringan kesihatan pada bila-bila masa tanpa perlu membawa dan menunjukkan baucar fizikal HSP.
“Program ini telah menjadi teras PERKESO dalam mempromosikan kesihatan pekerja dengan menggalakkan pekerja menjalani saringan kesihatan sebagai salah satu langkah untuk memastikan kesihatan pekerja di tahap yang optimum. Pencarum PERKESO yang layak untuk HSP adalah pekerja yang berumur 40 tahun ke atas,” katanya di laman sosial Facebook, baru-baru ini.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi pejabat PERKESO terdekat atau talian HSP di 03-4262 5089 atau 03-4252 1258/4475/4476, talian 1300 22 800 atau emel ke hsp@perkeso.gov.my