sdr

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyatakan hasrat untuk memperhebatkan inisiatif bagi memperkasakan sektor aeroangkasa dengan meningkatkan bilangan peluang kerjaya yang lebih tinggi kepada pekerja dan graduan tempatan.

Menteri MITI, Datuk Darell Leiking berkata, kementeriannya melalui Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) telah mula mempergiatkan usaha melalui kolaborasi bersama-sama beberapa kementerian dan agensi seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran bagi merealisasikan sasaran tersebut.

“Sektor aeroangkasa kini telah menggaji 24,500 pekerja mahir dan kami percaya bahawa lebih ramai pekerja berbakat dan mahir boleh direkrut melalui usaha-usaha yang sedang direncanakan.

“Antara usaha itu adalah seperti menaik taraf kursus relevan melibatkan diploma dan ijazah di universiti serta memastikan graduan sedia memasuki pasaran,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Aeroangkasa Malaysia 2019 (MyAero’19) di Menara MITI Kuala Lumpur, hari ini.