Berikutan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kesannya terhadap perniagaan di Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melanjutkan tarikh untuk majikan membuat bayaran caruman bulan Mei 2020 hingga caruman bulan Julai 2020, daripada 15 haribulan kepada 30 haribulan bagi bulan yang berkenaan.

Ketua Pegawai KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, pihaknya telah mengambil maklum setiap maklum balas terutamanya mengenai kerisauan para majikan serta tekanan yang mereka hadapi berikutan pemberhentian aktiviti perniagaan sejak bermulanya PKP pada bulan Mac lalu.

“Bagi meringankan beban para majikan di samping memelihara mandat KWSP untuk melindungi dana persaraan ahli, KWSP akan terus memberi pertimbangan tertentu yang munasabah sebagaimana pelaksanaan pelanjutan tarikh bayaran caruman untuk bulan Mei, Jun dan Julai 2020 ini.

“Dengan sokongan dan fleksibiliti yang kami tawarkan ini, KWSP berharap para majikan akan terus menjalankan tanggungjawab mereka dengan membayar caruman syer majikan dan pekerja dalam keadaan Covid-19 yang semakin hari beransur pulih,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Majikan boleh membuat bayaran caruman melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman sesawang KWSP, perbankan internet ataupun di kaunter bank yang dilantik.

KWSP-Gambar-hiasan.jpg