Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini menyambung semula perkhidmatan tertentu di cawangannya di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan serta Nilai bermula dari 9 pagi hingga 2 petang pada hari bekerja.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, cawangan KWSP Kajang dan semua cawangan KWSP Sabah bagaimanapun masih ditutup buat sementara waktu.

“Walaupun jumlah kes Covid-19 yang dicatatkan sedang meningkat, keputusan untuk menyambung perkhidmatan tertentu di cawangan yang dinyatakan adalah untuk membantu ahli yang memerlukan akses kepada simpanan KWSP mereka.

“Bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para ahli, majikan, dan kakitangannya sentiasa terjaga, KWSP akan terus melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) di semua cawangan dan pejabatnya.

“Ahli hanya boleh hadir di cawangan dengan membuat janji temu melalui saluran Janji Temu Online di laman web www.kwsp.gov.my/janjitemu sahaja,” jelas KWSP.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 ataupun rujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.

-HR HUB

KWSP-Gambar-hiasan.jpg