Ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja-pekerja syarikat yang beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sedang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi Program Saringan Prihatin (PSP) PERKESO.

Dalam satu kenyataan, PERKESO berkata, program saringan tersebut bermula dengan Fasa Pertama melalui ujian ‘Reverse Transcriptase – Polymerase Chain Reaction’ (RT-PCR) dan akan disusuli dengan Fasa Kedua melalui ujian ‘Rapid Test Kit’ (RTK) ‘Antibody’.

“PERKESO mengambil maklum garis panduan terkini daripada Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai saringan Covid-19 yang hanya mengiktiraf RT-PCR sebagai kaedah saringan. Kami turut mengambil maklum keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada 8 Mei 2020 berkenaan perkara yang sama.

“PERKESO melihat saranan kaedah saringan Covid-19 ke atas pekerja yang berisiko tinggi secara serius. Sehubungan itu, PERKESO akan melaksanakan ujian saringan Covid-19 menggunakan kaedah RT-PCR sahaja dan tidak menggunakan kaedah RTK Antibody,” katanya, baru-baru ini.

Tambah PERKESO, ujian saringan ini akan dilaksanakan oleh penyedia perkhidmatan sedia ada dan juga lain-lain penyedia perkhidmatan yang akan dilantik bagi membolehkan penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien.

“Saringan ini adalah wajib kepada pekerja-pekerja asing di sektor pembinaan atau yang bekerja di zon merah sahaja.

“Maklumat lanjut berkenaan pengoperasian PSP PERKESO akan dimaklumkan melalui portal Prihatin PERKESO,” jelasnya.

PSP-PERKESO.jpg