Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) bertegas untuk mengambil tindakan perundangan kepada mana-mana sahaja majikan yang didapati tidak mematuhi piawaian keselamatan dan kesihatan sehingga boleh mengakibatkan kejadian kemalangan, kecederaan atau kematian melibatkan pekerja dan orang awam.
Pengerusinya yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, majikan seharusnya bertanggungjawab mematuhi prosedur dengan mengenal pasti risiko bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko serta mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sesuatu tugasan dimulakan oleh pekerja masing-masing.
“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja sepanjang tempoh kerja tersebut. Tindakan perundangan akan diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) dan Akta Kilang dan Jentera (1967) ke atas pihak yang bertanggungjawab,” katanya pada Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sektor Pertanian, Perikanan dan Perhutanan 2019 di Kota Kinabalu, hari ini.