Sebanyak 28 syarikat dari pelbagai sektor menerima pengiktirafan SSPOA 2025 atas usaha berterusan mereka dalam mengimbangi kelestarian alam, kesejahteraan sosial dan pertumbuhan ekonomi.
Sustainability Shared Prosperity Organisation Assessment (SSPOA) diwujudkan pada tahun 2023 untuk menghargai syarikat yang bukan sekadar cari untung tetapi juga menjaga warga kerja, sayang alam sekitar dan ambil berat tentang masyarakat. Pengiktirafan ini lahir daripada rasa hormat kepada usaha yang jujur dan bertanggungjawab.
Syarikat yang percaya kejayaan sebenar datang bila semua dapat rasa manfaatnya. Penilaian dibuat berdasarkan lima perkara penting iaitu warga kerja (People), cara kerja (Process), kualiti produk (Product), kesejahteraan bersama (Prosperity) dan penjagaan bumi (Planet). Inilah cara kita membentuk masa depan yang lebih adil dan mampan bersama.
SSPOA menjadi penanda aras nasional bagi organisasi yang mengintegrasikan struktur upah dan insentif berasaskan produktiviti, kemakmuran bersama dan pematuhan ESG dalam strategi perniagaan dan sebanyak 64 syarikat telah diiktiraf setakat ini.
Ketua Pengarah MPC, Datuk Zahid Ismail berkata, “Bila syarikat bayar gaji yang adil ikut prestasi, jaga alam sekitar dan ambil berat tentang pekerja serta masyarakat, syarikat jadi lebih produktif, lebih dipercayai, dan boleh bersaing dengan lebih baik. Ini bukan soal untung sahaja, tapi cara syarikat maju dengan bertanggungjawab.”
“SSPOA bukan sekadar anugerah, tapi usaha bersama untuk jadikan tempat kerja lebih baik, lebih terbuka dan bermanfaat untuk semua. Inilah cara kita capai kemakmuran bersama, tingkatkan hasil kerja dan bantu syarikat Malaysia bersaing di dalam dan luar negara,” ujarnya pada Majlis Pengiktirafan SSPOA 2025 di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Pengiktirafan tahun ini memperlihatkan lebih banyak syarikat melaksanakan model upah dan insentif berasaskan produktiviti sambil memperkukuh tanggungjawab sosial dan alam sekitar, sekaligus menyokong keutamaan WCR dalam menarik dan mengekalkan bakat.
MPC mengalu‑alukan lebih banyak organisasi menyertai kerangka SSPOA sebagai landasan ke arah pengiktirafan nasional dan kecemerlangan produktiviti jangka panjang.
-HR HUB