Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa permohonan i-Sinar yang dibuat sebelum 25 Februari kini telah diberi kelulusan secara berperingkat dan bayaran juga sudah dibuat bermula 2 Mac semalam.
KWSP berkata, pembayaran secara berperingkat nanti akan melibatkan permohonan yang masih menunggu keputusan kelulusan sebelum penambahbaikan i-Sinar tanpa kriteria dibuat.
“KWSP menghargai kesabaran ahli ketika proses ini sedang berjalan. Jika ahli mendapati status permohonan masih tiada sebarang perubahan, semakan boleh dibuat pada hari-hari berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Jelas KWSP, permohonan baharu yang mencerminkan pemansuhan kriteria pula akan dibuka bermula 8 Mac kepada semua ahli di bawah umur 55 tahun, termasuk ahli KWSP bukan warganegara Malaysia dengan tertakluk kepada baki di dalam Akaun 1 ahli.
“Permohonan baharu ini akan diproses dalam tempoh lima hari bekerja dan selepas tempoh ini, ahli boleh mula menyemak status permohonan dan tarikh bayaran.
“Bermula 8 Mac 2021 juga, ahli akan diberikan kelonggaran untuk membuat pindaan pada butiran permohonan seperti jumlah dipohon, maklumat bank, alamat, nombor telefon serta mod bayaran di laman i-Sinar Online,” ujarnya.
-HR HUB