Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang diusahakan oleh kolej komuniti seluruh negara akan memanfaatkan pendekatan melalui teknologi bagi peningkatan produktif dan melicinkan urusan pentadbiran secara lebih efektif.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, langkah untuk memperkenalkan kursus kemahiran jangka pendek ke dalam program PSH berunsurkan Revolusi Perindustrian Keempat (RI 4.0) dan program PSH Bermodul akan dilaksanakan.

“Sebagai contoh, komuniti di dalam era RI 4.0 ini telah diperkenalkan kepada telefon pintar dan keperluan internet sehinggakan wujudnya kemudahan berkongsi informasi dan membuat jualan melalui aplikasi WhatApps, Telegram, Instagram dan Facebook.

“Perkembangan ini mewujudkan satu jurang teknologi dan keperluan kemahiran yang perlu dipenuhi jika kita ingin terus bersaing dengan negara maju. Oleh itu, kolej komuniti perlu berfungsi sebagai institusi pendidikan yang membekalkan kemahiran yang secukupnya kepada rakyat dan komuniti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Premis Sementara Kolej Komuniti di Simpang Renggam Johor, semalam.