Program ‘Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs’ (PROTEGE) yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) kini berada di landasan terbaik melatih pelajar-pelajar lepasan sekolah dan universiti dalam meningkatkan kebolehpasaran mereka mendapatkan pekerjaan di masa akan datang.

Ketua Setiausaha MED, Datuk Wan Suraya Mohd Radzi berkata, modul baharu PROTEGE yang menggantikan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) lebih bersifat menyeluruh dengan kumpulan sasaran turut merangkumi pelajar lepasan sekolah dan diploma bagi meningkatkan kemahiran, pengalaman serta ilmu pengetahuan berkaitan keusahawanan.

“Sehubungan itu, menerusi inisiatif tersebut diharapkan syarikat-syarikat berteknologi tinggi tidak perlu mendapatkan pekerja asing bagi mengisi kekosongan kerana jumlah peserta PROTEGE dapat menampung keperluan yang ada,” katanya pada Majlis Penutup PROTEGE bersama Duopharma Biotech Berhad di Hotel Marriott Putrajaya, baru-baru ini.

Tambah Wan Suraya, PROTEGE juga telah bekerjasama dengan 13 buah universiti awam dalam program karnival kerjaya ‘PROTEGE Reach-Out and Awareness’ yang bakal bermula hujung Mac hingga Mei bagi memperkenalkan inisiatif-inisiatif latihan kendalian MED.