Kementerian Pembangunan Usahawan telah memperkenalkan program ‘Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs’ (PROTEGE) sebagai pembaharuan kepada Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang akan lebih terbuka penyertaannya kepada golongan belia semua peringkat.
Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, program yang diberi nafas baharu ini bertujuan untuk memberi galakan kepada para belia dan membuka minda mereka untuk menceburi bidang usahawan sebagai alternatif punca pendapatan selain dari makan gaji.
“Kementerian berpendapat penyelesaian terbaik untuk menangani isu kekangan pekerjaan ini ialah dengan melatih lebih ramai usahawan untuk membuka ruang minda bahawa menjadi usahawan juga boleh menjadi alternatif pencarian rezeki yang baik selain kerja makan gaji.
“Solusinya, penjenamaan semula PROTEGE ini akan memberikan lebih penekanan dalam aspek keusahawanan sebagai persediaan kepada anak-anak muda menjana pendapatan selaku ‘job creators’ yang boleh berkembang menjadi majikan memayungi ‘job seekers’ yang lain,” katanya pada Majlis Pelancaran PROTEGE di Kompleks Sukan Kelab Kilat, TNB Jalan Bangsar semalam.