Program Kerjaya Urban Poor (UP) yang dijalankan di 10 negeri sejak 1 April telah membuka 34,283 peluang pekerjaan daripada 164 majikan sektor formal dan tidak formal yang mengambil bahagian, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.
Beliau berkata, kementeriannya menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menganjurkan Program Kerjaya UP sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan masalah pengangguran dalam kalangan rentan bandar ini ditangani dengan segera.
“Saya menyeru semua pencari kerja dan mereka yang masih menganggur dari golongan mudah terjejas dan B40 di kawasan-kawasan bandar menggunakan peluang ini untuk memperoleh pekerjaan demi kelangsungan hidup masing-masing dan keluarga.
“Mereka yang berminat untuk menyertai Kerjaya UP, boleh hadiri program tersebut secara ‘walk-in’ atau mendaftar di careerfair.perkeso.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Saravanan, majikan yang mengambil bahagian dalam Program Kerjaya UP boleh menerima insentif pengambilan pekerja yang disediakan oleh PERKESO menerusi Program PenjanaKerjaya.
“Insentif PenjanaKerjaya sehingga RM6,000 sebulan disediakan bagi majikan yang mengambil pekerja dari kategori mudah terjejas dan hingga RM4,000 sebulan untuk majikan yang mengambil pekerja tempatan bagi menggantikan pekerja asing di bawah kategori Malaysianisation,” jelasnya.
Selain daripada temu duga kerja oleh majikan, Program Kerjaya UP juga menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya, klinik penghasilan resume dan temu duga, kaunter sesi pendaftaran perniagaan (SSM), khidmat nasihat keusahawanan dan kewangan, latihan kerjaya dan pendaftaran e-Kasih.
-HR HUB