Kemampuan pusat-pusat tahfiz tempatan membentuk ilmuan serta golongan celik agama kini tidak lagi terbatas setelah penubuhan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Tahfiz baharu diyakini mampu melahirkan kelompok pekerja huffaz berkemahiran.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, program yang mendapat kerjasama dengan Kementerian Pendidikan tersebut dilaksanakan untuk membuka peluang dan membantu para pelajar tahfiz bagi mendapatkan latihan berkemahiran yang bersistematik melalui Pensijilan Kemahiran Malaysia.
“Perhubungan dua latar belakang yang berbeza dapat dipertemukan dengan adanya TVET Tahfiz ini. Tenaga pengajar tahfiz sedikit sebanyak dapat mempelajari ilmu bidang Teknologi Automasi Industri dan Robotik . Pada masa yang sama, guru TVET juga dapat memahami tentang tahfiz.
“Saya menyeru ibu bapa supaya tidak bimbang untuk hantar anak-anak mereka dalam program TVET Tahfiz ini malah kita harus lihat sebagai salah satu masa depan mereka untuk mendapatkan peluang pekerjaan,”katanya kepada pemberita selepas merasmikan TVET Tahfiz dan menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Enter Coridor Training Center dan Maahad Tahfiz Al Quran As Sunnah (MTAQWAS) di Galleri Klang Sentral, kelmarin.