PMKS perlu perkasa kemahiran pekerja seiring peningkatan penggunaan teknologi

Nov 19, 2026 | Journals & Articles

Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia perlu memperkukuh kemahiran digital serta keupayaan tenaga kerja bagi memastikan pelaburan teknologi dapat diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan operasi.

Dapatan kajian terbaharu platform perniagaan global Xero menunjukkan 77 peratus PMKS merancang meningkatkan perbelanjaan teknologi dalam tempoh 12 bulan akan datang, namun hanya 28 peratus menyifatkan operasi perniagaan mereka sebagai sebahagian besarnya atau sepenuhnya digital.

Kajian bertajuk ‘Turning Digital Progress Into Business Value: The State of Digital Maturity Among Malaysia’s MSMEs’ itu melibatkan 1,049 perniagaan di seluruh negara bagi menilai tahap penggunaan teknologi, cabaran serta potensi pendigitalan dalam sektor berkenaan.

Dari perspektif pengurusan sumber manusia (HR), peralihan kepada operasi digital turut memerlukan peningkatan kemahiran pekerja supaya mereka mampu menyesuaikan diri dengan perubahan proses kerja, penggunaan sistem automasi dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Kajian itu mendapati 46 peratus PMKS masih menggabungkan proses digital dengan kaedah manual, manakala 26 peratus lagi menggunakan operasi yang sebahagian besarnya atau sepenuhnya manual.

Penggunaan teknologi paling ketara dalam fungsi teknologi maklumat (79 peratus) serta kewangan dan perakaunan (77 peratus).

Sementara itu, sebanyak 44 peratus PMKS sudah menggunakan AI dalam pelbagai fungsi atau bidang tertentu, manakala 22 peratus lagi sedang menguji teknologi berkenaan.

Bagaimanapun, kebimbangan mengenai privasi dan keselamatan data menjadi halangan utama kepada penggunaan AI, melibatkan 43 peratus responden, diikuti kekurangan kemahiran dan kepakaran (36 peratus) serta kos (34 peratus).

Pengarah Urusan Xero APAC, Koren Wines berkata, PMKS perlu memastikan teknologi yang digunakan dapat beroperasi secara bersepadu bagi membantu pemilik perniagaan memperoleh gambaran menyeluruh mengenai prestasi syarikat dan membuat keputusan lebih tepat.

Beliau berkata, perniagaan kecil berdepan peningkatan kos serta perubahan jangkaan pelanggan, sekali gus mendorong penggunaan teknologi untuk mengurus pembayaran, invois, perbelanjaan dan hubungan pelanggan.

Menurutnya, usaha negara meningkatkan produktiviti dan daya saing menerusi inisiatif seperti Rancangan Malaysia Ketiga Belas serta Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia 2030 memerlukan penyertaan aktif PMKS, termasuk dari aspek pembangunan kemahiran dan sokongan teknologi.

Kajian itu turut mendapati hanya 39 peratus PMKS mempunyai akses langsung kepada maklumat hasil dan keuntungan, manakala 35 peratus mempunyai gambaran jelas mengenai aliran tunai serta kecairan kewangan.

Keadaan itu menunjukkan keperluan memperkukuh keupayaan digital dan sistem pengurusan perniagaan bagi membolehkan PMKS meningkatkan kecekapan tenaga kerja, mengurangkan beban tugas manual serta membina operasi lebih mampan.

-HR HUB