Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melakar peristiwa penting dengan sempurnanya majlis pecah tanah Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) di Bandar Sultan Suleiman semalam, sekali gus menandakan permulaan projek pembangunan Laman Lestari.
Upacara dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas.
Amirudin turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PKNS dengan Inter Great Sdn Bhd serta PKNS FM Integrated Sdn Bhd bagi mengukuhkan lagi komitmen perbadanan untuk memupuk persekitaran hidup yang berkualiti dan mampan bagi pekerja migran di Selangor.
Dalam ucaptamanya, Mahmud berkata, komitmen PKNS tidak berbelah bahagi dalam memupuk persekitaran hidup yang sihat dan mampan untuk pekerja migran di Selangor.
“Majlis pecah tanah Laman Lestari di Bandar Sultan Suleiman ini menandakan peristiwa penting dalam merealisasikan visi serta strategi PKNS ke arah memastikan kebajikan dan kesejahteraan hidup pekerja-pekerja ini dapat dipertingkatkan,” katanya.
Sebagai nadi perancangan jangka panjang PKNS bagi menyediakan penginapan yang berkualiti bagi pekerja-pekerja migran ini, CLQ di Bandar Sultan Sulaiman ini dijangka dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Projek yang menelan belanja sebanyak RM120 juta ini dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, dengan tarikh penyerahan projek pada 2024 dan sijil siap diperoleh pada 2028. Pembinaannya meliputi kawasan tanah seluas 4.35 ekar dan mempunyai 336 unit yang dilengkapi perabot serta kemudahan asas seperti lampu, kipas, dapur elektrik, meja, kerusi, katil, tilam, bantal dan almari berkunci.
Demi mengutamakan kebajikan pekerja migran ini, kesemua unit CLQ akan disewakan dengan anggaran yuran bulanan berjumlah RM350 seorang. Pendekatan sewaan ini sejajar dengan komitmen PKNS terhadap strategi jangka panjang untuk mengekalkan CLQ dan memastikan kelestariannya.
-HR HUB