Pertikaian NUBE-MCBA: Usaha perdamaian kekal menjadi keutamaan KESUMA

Nov 10, 2026 | HR News

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menegaskan komitmennya untuk memastikan pertikaian antara Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) dan Persatuan Bank-Bank Perdagangan Malaysia (MCBA) dapat diselesaikan menerusi saluran rundingan serta pendekatan yang harmoni.

Kementerian itu berkata, tindakan Menteri Sumber Manusia mengemukakan rayuan adalah bagi mendapatkan penjelasan Mahkamah Rayuan mengenai persoalan undang-undang yang timbul susulan keputusan Mahkamah Tinggi, dan bukannya bertujuan menghalang usaha perdamaian.

Menurut KESUMA, Menteri Sumber Manusia tidak pernah memohon supaya keputusan Mahkamah Tinggi ditangguhkan, sebaliknya Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) telah mengambil langkah menghubungi pihak terbabit untuk meneruskan proses rundingan.

Namun, usaha berkenaan tidak dapat diteruskan selepas Mahkamah membenarkan permohonan MCBA untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga rayuan persatuan itu diputuskan.

KESUMA menjelaskan, keputusan menarik balik rayuan oleh Menteri Sumber Manusia juga tidak memberikan laluan secara automatik kepada kedua-dua pihak untuk kembali berunding kerana perintah penangguhan mahkamah masih berkuat kuasa.

Sehubungan itu, kementerian meminta semua pihak menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung dan tidak mengetepikan kepentingan penyelesaian secara baik bagi melindungi hak pihak berkaitan serta mengekalkan kestabilan hubungan perusahaan.

Pertikaian berkenaan berpunca daripada isu pembayaran Bantuan Perayaan dan pelaksanaan Perjanjian Kolektif Ke-20.

Pada 13 Februari lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman NUBE, sekali gus membatalkan dua rujukan Menteri Sumber Manusia kepada Mahkamah Perusahaan dan mengarahkan NUBE serta MCBA kembali mengadakan rundingan.

Bagaimanapun, pada 26 September lalu, mahkamah membenarkan permohonan MCBA untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan, yang ditetapkan untuk pendengaran pada 22 Mac tahun depan.

-HR HUB

gambar-hiasan-KESUMA.jpg