Susulan kepada kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di laman Facebook berhubung mesyuarat ketiga Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang dipengerusikannya pada awal Mei yang lalu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah berkongsi maklumat lanjut berhubung beberapa perkara yang diperbincangkan.

Antara perincian mesyuarat tersebut ialah terdapat peningkatan positif dalam jumlah Orang Bekerja Sendiri (OBS), termasuk pekerja GIG, yang mendapat perlindungan sosial daripada PERKESO.

PERKESO berkata, jumlah OBS pada 2020 telah mengalami peningkatan menjadi lebih 80,000 dan setakat ini, bilangan OBS aktif terus melonjak kepada lebih 142,000 individu.

“Lonjakan ini adalah hasil pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting yang dimainkan oleh mereka yang bekerja sendiri termasuk pekerja GIG, terutamanya dalam mendepani pandemik Covid-19 yang melanda.

“Pengiktirafan yang diberikan Kerajaan ini telah membolehkan PERKESO, dengan sokongan Kementerian Kewangan menerusi pelbagai pakej rangsangan yang diperkenalkan, merangka tiga program padanan caruman bagi perlindungan sosial ke atas golongan yang bekerja sendiri,” katanya.

Tiga program tersebut ialah PenjanaGig di bawah pakej PENJANA bagi pekerja GIG; SPS Lindung di bawah Belanjawan 2021 bagi GIG riders, para sukarelawan dan pekerja ‘Contract For Service’ dalam sektor awam; serta SPS Prihatin Wanita di bawah pakej PEMERKASA bagi usahawan dan pekerja wanita yang bekerja sendiri.

Tambah PERKESO, NEC juga telah menyokong dan memperakui perancangan PERKESO untuk memperluaskan liputan perlindungan keselamatan sosial yang diberikan kepada pelbagai kumpulan OBS lain melalui beberapa inisiatif kolaborasi bersama kementerian lain yang terlibat.

“Bagi memperkukuh lagi rangka perlindungan sosial kepada golongan OBS, PERKESO bersama Kementerian Sumber Manusia juga merancang untuk meminda Akta Sistem Insurans Pekerjaan [Akta 800] yang antara lain akan turut memberikan mereka perlindungan apabila berlaku kehilangan pekerjaan ataupun pendapatan akibat daripada kejutan ekonomi, bencana alam dan lain-lain,” katanya.

-HR HUB